Peguam bebas tuduhan pecah amanah - Utusan Malaysia

Peguam bebas tuduhan pecah amanah

IBRAHIM Haikal Razak (kanan) menadah tangan sebagai tanda syukur selepas dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah, enam tahun lalu. - UTUSAN/BAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hanya perasaan syukur dapat dizahirkan seorang peguam setelah Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada dua pertuduhan pecah amanah berjumlah RM17,925, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu terhadap Ibrahim Haikal Razak, 36, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan lelaki tersebut melakukan pecah amanah.

Abu Bakar dalam alasan penghakimannya membenarkan rayuan Ibrahim Haikal selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan kedua-dua pertuduhan pindaan terhadap hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan berkenaan dan dua sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen sebelum ini.

“Selepas mahkamah meneliti semua rekod rayuan dan memperhalusi hujahan bertulis dan lisan semua pihak, didapati tiada keterangan menunjukkan perayu menyimpan wang yang menjadi teras pertuduhan pertama serta kedua.

“Mahkamah malah berpendapat perayu melakukan kecuaian kerana wang diterima tidak diserahkan kepada firma Tetuan Tia & Noordin tetapi ini tidak memaksud dia melakukan terlibat dalam elemen pecah amanah apatah lagi tiada keterangan menunjukkan menggunakan wang itu bagi kegunaan peribadi.

“Hakim bicara juga gagal menimbangkan keterangan saksi pendakwaan selaku pemilik wang yang menjadi teras pertuduhan iaitu memberi keizinan kepada perayu untuk membayar balik wang itu, malah saksi berkenaan langsung tidak membuat laporan polis terhadap perayu, ” katanya dalam penghakiman itu.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Ibrahim Haikal sebagai peguam bela dan peguam cara dituduh melakukan pecah amanah wang sebanyak RM7,600 yang dibayar seorang wanita kepada firma guaman Tetuan Tia & Noordin di sebuah restoran makanan segera di Taman Ungku Tun Aminah pada 24 Januari 2014.

Bagi pertuduhan pindaan kedua pula, dia dituduh pecah amanah RM10,325.80 daripada seorang wanita yang lain kepada firma guaman sama, di sebuah restoran makanan segera di Taman Daya pada 8 Februari 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faizal Amrin Noor Hadi manakala lelaki itu diwakili peguam G. Subramaniam dan M. Manian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN