KUALA LUMPUR: Kesemua 18 ahli Parlimen Pas menzahirkan kesetiaan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Perikatan Nasional (PN).
Ia dinyatakan Setiausaha Agungya, Datuk Takiyudin Hassan menerusi satu kenyataan yang mana PN adalah sebuah kerajaan meletakkan rakyat sebagai kepentingan khususnya dalam memerangi Covid-19 serta memastikan keselamatan dan ekonomi terjamin.
“Pas menjunjung kasih ke hadapan Yang di-Pertuan Agong atas kebersamaan Seri Paduka dengan kerajaan dalam usaha gigih menguruskan dan menangani penularan pandemik Covid-19 yang menjejaskan kehidupan rakyat jelata,” katanya.
Takiyudin berkata, Pas menyeru ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk terus mempertahan kerajaan hari ini daripada ditumbangkan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.
“Pas menyeru seluruh rakan-rakan ahli Parlimen BN terus istiqamah mempertahan kepemimpinan Perdana Menteri dan kerajaan PNl yang dibina bersama atas keruntuhan Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin membuat usul cadangan agar darurat dilaksanakan bagi memerangi pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, cadangan tersebut ditolak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan menjelaskan ia tiada keperluan untuk membuat pengisytiharan darurat setakat ini.
Malam tadi, mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO mencapai keputusan untuk kekal menyokong kerajaan PN, namun menggesa kerjasama ditambah baik berdasarkan nilai hormat menghormati dan konsensus politik. – UTUSAN ONLINE