SHAH ALAM: Hanya kerana tidak mempunyai kad prabayar Touch n Go, seorang lelaki warga emas tekad berpatah balik ke rumahnya di Seksyen 8 dengan memandu keretanya secara melawan arus dari Plaza Tol Sri Muda, Lebuh Raya Kemuning Shah Alam (LKSA) di sini semalam.
Bagaimanapun, tindakan lelaki warga emas berusia 73 tahun itu mengundang padah apabila mengakibatkan kemalangan membabitkan dua buah kereta di lebuh raya tersebut.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang apabila warga emas yang memandu kereta jenis Perodua Kelisa secara bersendirian itu dalam perjalanan ke sebuah pasar raya di Seksyen 13, di sini.
Katanya, lelaki itu tersalah jalan dengan memasuki LKSA namun setibanya di lebuh raya berkenaan, warga emas terbabit menyedari dia tidak mempunyai kad Touch n Go.
“Lelaki ini bertindak berpatah balik dengan melawan arus balik ke rumah. Bagaimanapun, tindakannya mengakibatkan sebuah kenderaan jenis Honda City dipandu individu berusia 33 tahun dalam perjalanan ke Kota Kemuning terbabas kerana cuba mengelak di Kilometer 3.1 lebuh raya tersebut.
“Malah, warga emas terbabit bertindak meneruskan perjalanan melawan arus dan berlanggar dengan sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi di Kilometer 6.6 di lebuh raya sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Baharudin, akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu kereta jenis Honda City yang cedera dibawa rakannya ke Hospital Columbia.
“Pemandu Myvi berusia 25 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Sri Muda daripada Bukit Jelutong tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Selepas kejadian, warga emas yang juga tidak mengalami sebarang kecederaan dibawa pulang ke rumahnya oleh orang awam sebelum anaknya membawanya ke Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk membuat laporan polis.
“Warga emas terbabit telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk pemeriksaan dan ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambahnha, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 13 saat di laman sosial Facebook memaparkan seorang lelaki memandu sejauh dua kilometer secara melawan arus dan telah melanggar kereta lain. – UTUSAN ONLINE