PONTIAN : Pakar rujuk al-Quran Johor, Kamaruddin Komeng meninggal dunia ketika berada di kebunnya di Pekan Nanas di sini kelmarin.
Bekas ahli Lajnah Tashih Al-Quran Kementerian Dalam Negeri itu dikatakan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pekan Nanas oleh orang ramai yang berada berhampiran.
Menurut adik Kamaruddin, Kamarulhairi Komeng, abangnya yang berusia 55 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan di klinik tersebut.
Katanya, Kamarudddin telah meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak. Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff, Tampoi pada lewat Khamis.
“Abang merupakan anak ketiga daripada sembilan adik-beradik merupakan seorang tegas dan sentiasa menjaga adik beradik walaupun kami semua masing-masing telah berkeluarga.
“Walaupun sesibuk mana pun tugasnya, beliau tetap mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung dan sentiasa mengambil tahu masalah keluarga dalam kumpulan WhatApps,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Kamaruddin bertugas sebagai Pengarah Latihan Pembangunan Kemanusiaan di Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Johor dan pernah menjadi pensyarah di Maahad Johor dan Pegawai Pendidikan Islam Daerah Pontian. -UTUSAN