Orang Kedah takut kena Temco lagi - Utusan Malaysia

Orang Kedah takut kena Temco lagi

PETUGAS kesihatan melakukan operasi sanitasi di balai polis bergerak yang diletakkan di hadapan pintu masuk utama kawasan perumahan Rumah Pangsa Tongkang Yard yang dikuarantin ekoran penularan dan peningkatan kes Covid 19 di Daerah Kota Setar baru-baru ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penduduk negeri mulai bimbang dengan peningkatan semula kes positif Covid-19 sejak akhir-akhir ini.

Malah, timbul dua lagi kluster baharu di negeri ini iaitu Kluster Bah Ketil dan Kluster Tembok, selepas Kluster Sivagangga, Tawar, Muda, Sala, Telaga dan Sungai.

Mereka mengharapkan penduduk yang positif Covid-19 kembali berkurangan dan semuanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak tersebut.

Jumlah kes positif Covid-19 yang dicatatkan di Kedah kelmarin ialah 98 kes.

Seorang penduduk, Mohd. Yusof Ismail, 44, berkata, dia terkejut dengan peningkatan kes positif Covid-19 di Kedah walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) di daerah Kota Setar telah ditamatkan.

Menurutnya, lebih membimbangkan sekiranya Temco dilaksanakan semula di beberapa daerah berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di negeri ini.

“Sebagai seorang guru, pastinya peningkatan ini membimbangkan kerana jika kes terus meningkat mungkin kerajaan melaksanakan semula Temco dan keadaan ini mengakibatkan persekolahan kembali terganggu,” katanya di sini semalam.

Seorang peniaga, Mohamad Zuhair, 27, berkata, dia bimbang pelaksanaan semula Temco menjejaskan pendapatannya lebih teruk berbanding sebelum ini.

“Ini kerana, Temco yang dijalankan di daerah Kota Setar baru-baru ini telah menjejaskan perniagaan saya dan saya harapkan semua pihak patuhlah,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Chenin Hassan, 66, pula menyelar sikap segelintir yang tidak mahu menjalani kuarantin selepas pulang dari kawasan bergejala seperti Sabah.

“Semua pihak perlu menjaga kepentingan awam dan mengelak keluar selepas pulang dari kawasan bergejala itu.” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN