Minta RM5 juta, terima RM1.35 juta - Utusan Malaysia

Minta RM5 juta, terima RM1.35 juta

MOHD. Azhar Che Mat Dali (tengah) dibawa keluar dari bilik bicara selepas didakwa atas tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini semalam atas lima pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang pengarah syarikat antara Julai 2019 hingga Februari lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd. Azhar Che Mat Dali, 49, didakwa meminta suapan sebanyak RM5 juta daripada Pengarah Urusan syarikat FEHM Entity Sdn. Bhd. (FEHM), Elias Jemadi Tajudin pada 22 Julai tahun lalu di Hotel Le Apple Boutique, Jalan Ampang di sini.

Antara September 2019 hingga Februari lalu, tertuduh didakwa menerima RM1.35 juta daripada Elias dalam bentuk tunai dan cek Bank Islam yang diberikan melalui Pengarah syarikat Ikaira Resouces Sdn. Bhd., Zainudin Abdul Majid dan Pengarah syarikat Aqsa Solutions Sdn. Bhd., Ahmad Hisham Mohd Tajuddin di beberapa lokasi di ibu negara dan Putrajaya termasuk di tempat letak kereta kediaman rasmi Menteri Pertahanan, Jalan Bellamy di sini.

Rasuah yang diminta dan diterima itu adalah sebagai upah membantu FEHM untuk dipilih menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaraan bagi peralatan perisikan Sitem Prisma Direktorat Peperangan Informasi (DPI), Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Kementerian Pertahanan.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin.

“Kami juga memohon tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu melapor diri ke SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan bermula November ini, pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan larangan daripada mendekati atau menghubungi saksi-saksi pendakwaan,” ujarnya.

Bagaimanapun, peguam bela, Ariff Azami Hussein merayu agar jumlah tersebut dikurangkan kepada RM30,000 memandangkan anak guamnya tidak lagi bekerja sejak Februari lalu manakala isteri Mohd. Azhar bekerja sebagai pakar motivasi dengan gaji sebanyak RM5,000.

“Tertuduh turut menanggung tujuh anak yang mana dua daripadanya masih bersekolah dan menjaga ibu mentuanya yang sudah tua. Tertuduh bagaimanapun bersetuju dengan syarat-syarat tambahan yang dikenakan,” ujarnya.

Hakim Azura Alwi sebelum menetapkan ikat jamin memberitahu jumlah RM30,000 yang dimohon terlalu rendah.

Sehubungan itu, beliau menetapkan ikat jamin sebanyak RM300,000 dengan dua penjamin. Mahkamah kemudian membenarkan permohonan tertuduh melunaskan separuh daripada jumlah jamin itu sebanyak RM150,000 semalam manakala bakinya perlu dijelaskan selewat-lewatnya Khamis ini.

Hakim menetapkan 26 November ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Mahadi ketika ditemui selepas tamat prosiding mengesahkan Mohd. Azhar akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan meminta rasuah pada 23 Oktober ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN