JOHOR BAHRU: Menara rumah api di pekarangan Istana Flintstones, Mersing dekat sini yang bakal menjadi mercu tanda di daerah itu dijangka siap sepenuhnya September tahun depan.
Bangunan sembilan tingkat berketinggian lebih 60 meter itu bakal menjadi bangunan yang tertinggi di daerah Mersing.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan meluangkan masa meninjau perkembangan projek pembinaan menara tersebut semalam.
“Bangunan ini boleh dijadikan tempat penginapan untuk tetamu-tetamu khas, terutama raja-raja yang lain jika mereka berangkat ke Johor. Mereka akan dapat melihat pemandangan lautan dan pulau di sekitar kawasan ini.
“Ia turut dilengkapi dengan dua padang polo serta kandang kuda bertaraf antarabangsa yang mampu menganjurkan pertandingan sekali gus menaikkan nama daerah Mersing,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO).
Titah Sultan Johor, menara berkenaan turut dilengkapi dengan 14 bilik penginapan. – UTUSAN ONLINE