MELAKA: Kerajaan negeri memperkenalkan sektor pelancongan ke-14 yang baharu iaitu berkonsepkan agama bagi menarik lebih ramai berkunjung ke negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, sektor baharu itu diperkenalkan kerana faktor negeri ni yang pernah terkenal sebagai Pusat Perkembangan Islam suatu masa dahulu.
Katanya, bagi mencapai hasrat tersebut, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Melaka (KUIM) bekerjasama melaksanakan kajian mengumpul dan mencari semula kesan-kesan peninggalan sejarah Melaka sebagai bukti perkembangan terbesar penyebaran agama Islam di rantau ini.
“Tinggalan sejarah itu dapat dilihat melalui pembinaan masjid-masjid berusia ratusan tahun di negeri ini yang secara tidak langsung mampu digunakan untuk menggamit pelancong datang ke Melaka dan mengenali lebih dekat salasilah kewujudan perkembangan agama Islam.
“Masjid yang dibina ratusan tahun masih kukuh struktur-strukturnya yang boleh menjadi salah satu produk pelancongan di negeri ini,” katanya selepas Majlis Perasmian Galeri Interaktif Planetarium Al-Khawarizmi di Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Tanjung Bidara, hari ini.
Galeri tersebut turut menjadi salah satu tarikan bagi pelancongan agama di negeri ini yang memberi penekanan pelancongan berasaskan pencerapan astronomi yang mana galeri itu boleh dikunjungi orang ramai bagi melihat sendiri fenomena astronomi seperti lintasan komet dan gerhana bulan atau matahari.
Sementara itu, mengulas mengenai trend peninngkatan Covid-19 di negeri ini, Sulaiman berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau penularan pandemik tersebut.
Katanya, meskipun daerah Alor Gajah mencatatkan peningkatan yang membimbangkan, pihaknya belum bercadang mengekang aktiviti melibatkan orang ramai seperti Pasar Malam dan Pasar Pagi.
Sekiranya jumlah kes terus menunjukkan peningkatan, katanya, beliau akan melihat SOP yang lebih ketat bagi mengelak penularan pandemik Covid-19. – UTUSAN ONLINE