Mayat bayi dilumur garam dalam guni - Utusan Malaysia

Mayat bayi dilumur garam dalam guni

Anggota polis membawa mayat bayi lelaki yang ditemui dalam guni di sebuah rumah di Kampung Sungai Dua, Bachok kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Bayi lelaki ditemui mati dengan badan dilumur garam kasar dalam guni disyaki perbuatan si bapa yang ada masalah mental di Kampung Sungai Dua di sini kelmarin.

Wan Mohamad Afiq Zafwan Wan Roslan, berusia lapan bulan, ditemui dengan kulit leher kiri dan kanan menggelupas, kesan lebam di badan selain seluruh tubuh ada garam kasar.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintenden Samsulmuddin Sulaiman berkata, bayi itu dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 12 jam sebelum ditemui.

Menurut beliau, dalam kejadian itu, suspek mengurung isterinya, Nor Hanifah Mohamad, 32, dalam sebuah bilik.

Wanita itu juga dikesan ada lebam di kedua-dua belah tangan.

Samsulmuddin berkata, polis menerima maklumat daripada seorang lelaki yang berusia 50 tahun yang datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok pada pukul 10.45 pagi.

“Sebelum itu, lelaki ber­kenaan dihubungi suspek yang berusia 40 tahun meminta da­tang ke rumahnya untuk melihat keadaan anaknya.

“Selepas menerima maklumat itu, sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui semalam.

Samsulmuddin berkata, polis memecahkan pintu rumah terbabit kerana ia berkunci dari dalam sebelum menemui pasangan suami isteri itu di dalam sebuah bilik.

Menurutnya, polis kemudian menahan bapa bayi itu dan menyelamatkan ibu mangsa sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Bachok.

“Kita menjalankan pemeriksaan di ruang dapur dan me­nemui mayat bayi di dalam guni yang disembunyikan di sebuah rak,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perem­puan II (HRPZ II) Kota Bharu untuk bedah siasat.

Suspek ditahan untuk mendapat perintah reman di Mahkamah Majistret Bachok hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya