SUNGAI SIPUT: Seorang pekerja kilang maut selepas mengalami kecederaan parah akibat tersepit antara dua mesin pengangkut batu bata di sebuah kilang di Jalan Jalong Tinggi, di sini semalam.
Mangsa, Teh Boon Heng, 47, yang parah di beberapa bahagian badan maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja-kerja pemindahan batu bata.
Katanya, mangsa terperangkap antara dua mesin berkenaan hingga menyebabkannya tersepit.
“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku akibat kecuaian ketika menjalankan kerja.
“Polis memanggil beberapa rakan sekerja dan pengurusan syarikat untuk diambil keterangan. Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian pada pukul 4.07 petang.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, mangsa yang tersepit telah dikeluarkan oleh pekerja kilang dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Anggota membantu mengangkat mangsa dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE