SEREMBAN: Masjid Dato’ Klana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat dekat sini ditutup sementara malam tadi bagi solat Maghrib dan Isyak namun beroperasi semula sejak solat Subuh pagi ini.
Pemangku Pengerusi masjid tersebut, Najib Nubhan Khairuddin berkata, penutupan sementara itu adalah kerana Kementerian Kesihatan melakukan proses sanitasi di masjid tersebut lewat petang semalam.
Ia berikutan terdapat seorang individu yang disahkan positif Covid-19 mempunyai sejarah perjalanan ke masjid berkenaan iaitu semasa solat Jumaat pada 2 Oktober lepas.
“Kami menunggu arahan-arahan daripada Kementerian Kesihatan yang seterusnya tetapi setakat ini tidak ada arahan untuk tutup masjid,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas penularan dakwaan dalam media sosial iaitu seorang jemaah yang menunaikan solat Jumaat semalam di masjid tersebut yang didapati positif Covid-19 termasuk gambar-gambar proses sanitasi yang dilakukan.
Menurut Najib Nubhan, penularan dakwaan berkenaan menimbulkan ketakutan kepada masyarakat sehingga pengurusan masjid itu tidak menang tangan menjawab mesej menerusi aplikasi WhatsApp dan panggilan telefon.
“Kes positif individu yang solat di Masjid Sikamat itu adalah pada hari Jumaat lepas, bukan semalam. Individu itu telah disaring dan Kementerian Kesihatan semak semula sejarah perjalanannya yang mana antara tempat dia pergi ialah Masjid Sikamat untuk solat Jumaat,” katanya. – UTUSAN ONLINE