ALOR SETAR: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah menggagalkan cubaan membawa masuk 720 kilogram pisang dari Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Durian Burung, Padang Terap, dekat sini semalam.
Lori yang membawa bekalan pisang dianggarkan bernilai RM1,080 itu ditahan selepas didapati gagal mematuhi syarat import ketika diperiksa kira-kira pukul 3 petang.
Pengarahnya, P. Lily Rosalind berkata, pemeriksaan mendapati sebanyak 720 kilogram pisang cuba dibawa masuk tanpa mematuhi syarat import seperti ditetapkan di bawah Akta 728.
“Keluaran pertanian dari Thailand itu didapati gagal mematuhi syarat import seperti dinyatakan dalam Sijil Perakuan Pematuhan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan (3P),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kegagalan dalam mengemukakan maklumat berhubung gred, pembungkusan dan label itu menjadi kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin serta Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 15(2) akta sama,” ujarnya.
Tambahnya, tindakan penguatkuasaan undang-undang terus dipertingka di pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian. – UTUSAN ONLINE