Malaysia komited wujud kestabilan global sempena Hari PBB 75 tahun - Utusan Malaysia

Malaysia komited wujud kestabilan global sempena Hari PBB 75 tahun

MALAYSIA komited dalam usaha mempromosikan tiga asas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bersempena ulang tahun ke-75 badan dunia tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia terus memberikan komitmen tinggi dalam usaha mempromosikan tiga asas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bersempena ulang tahun ke-75 badan dunia tersebut.

Menurut kenyataan Divisyen Komunikasi dan Diplomasi Awam, Kementerian Luar Negeri, hasrat itu turut ditegaskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri bulan lalu.

Beliau ketika berucap secara maya pada mesyuarat peringkat tinggi Perhimpunan Agung PBB bagi sambutan 75 tahun organisasi global itu, turut mengulangi komitmen negara kita selama ini. 

“Sebagai ahli PBB sejak 1957, Malaysia komited dalam promosi tiga tiang asas badan ini iaitu keamanan dan keselamatan, hak asasi manusia serta pembangunan,” jelas kenyataan itu hari ini.

Ditubuhkan pada 24 Oktober 1945 setelah 50 buah kerajaan dari seluruh dunia menandatangani Piagam PBB pada 26 Jun 1945, organisasi sejagat itu kini disertai 193 buah negara berdaulat.

Sekretariat PBB terletak di New York, Amerika Syarikat yang dipimpin oleh Setiausaha Agung dipilih bagi tempoh dua penggal dan ketika ini badan tersebut mempunyai 17 agensi berbeza.

Untuk sambutan tahun ini, dengan tema ‘Masa depan yang kita mahu, PBB yang kita perlu’, Malaysia ujar kenyataan itu turut memperakui Deklarasi Peringatan Ulang Tahun ke-75 PBB.

“Ia menekankan keperluan hubungan pelbagai hala bagi mendepani banyak cabaran global dan mengulangi kepentingan pelaksanaan Agenda Pembangunan Mapan 2030,” tegas Kementerian Luar.

Malaysia menyambut baik pelan itu sejajar dengan rancangan lima tahun pembangunan negara sejak merdeka dan sedia menyertai buat kali kedua Reviu Nasional Sukarela (VNR).

Demi memperkukuhkan keselamatan dan keamanan sejagat, Malaysia turut menzahirkan komitmen dengan meratifikasi Perjanjian Larangan Persenjataan Nuklear (TPNW) pada 30 September lepas.

Ia selaras penyertaan negara kita dalam 36 misi pengaman PBB di pelbagai negara sejak dekad 1960-an lagi dengan sudah menghantar lebih 36,000 anggota pasukan keselamatannya.

Selain itu, Malaysia juga berbangga dapat menjadi tuan rumah depoh respons kemanusiaan PBB bagi hub rantau Asia Pasifik untuk Program Makanan Sedunia (WFP) jika berlaku bencana.

“Sempena Hari PPB, Malaysia akan terus memperbaharui komitmen kerjasama dengan pelbagai agensi badan dunia itu berdasarkan kepada prinsip murni saling bekerjasama antara sejagat,” katanya. -UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya