KUALA LUMPUR: Macau Scam yang aktif di negara ini dipercayai didalangi sindiket berangkaian yang berpengkalan di dalam dan luar negara.
Jika dulu Macau Scam hanya memilih China sebagai pengkalan operasi jenayah itu tetapi kini ia melebar ke beberapa buah negara di Eropah.
Menurut sumber, sindiket yang masih didominasi warga China itu merekrut ‘orang tengah’ sebelum menjadikan negara ini sebagai `pusat panggilan’.
Katanya, mereka yang direkrut kebanyakannya membabitkan `orang biasa-biasa’ warga tempatan.
“Ini bagi mengabur pihak berkuasa agar kegiatan mereka tidak dikesan.Bagaimanapun, sindiket ini besar dan berangkaian.
“Malaysia hanya dijadikan `pusat panggilan’ bagi memperdaya mangsa termasuk mangsa di China.
“Itu antara sebab apabila banyak serbuan dijalankan di sini namun sukar mengenal pasti ketuanya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam pada itu, sumber tu berkata, pasangan suami isteri yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dipercayai dalang utama sindiket Macau Scam di Lembah Klang.
Jelasnya, terdapat beberapa orang bawahan yang dipercayai ‘bekerja’ di bawah mereka yang menjalankan penipuan Macau Scam serta judi atas talian.
“Bagaimanapun, kita percaya banyak lagi sindiket yang bergerak aktif di negara ini selain mereka yang diberkas baru-baru ini,” katanya.
SPRM baru-baru ini menahan 20 individu termasuk lapan pegawai polis, seorang warga China dan pasangan suami isteri yang disyaki terlibat dalam kegiatan ‘cuci duit’ hasil wang haram daripada penipuan Macau Scam dan judi atas talian.
Sindiket ini dipercayai didalangi pasangan suami isteri itu kemudian akan melaburkan wang daripada aktiviti kegiatan berkenaan dalam perniagaan yang dijalankan oleh selebriti dan personaliti terkenal tanah air serta usahawan kosmetik tempatan.
Hasil beberapa tangkapan tersebut, SPRM menyita RM80 juta daripada 730 akaun bank dan wang tunai RM5 juta.
Selain itu, SPRM turut merampas 23 kenderaan mewah pelbagai jenama seperti Bantley, Rolls Royce, Lamborghini, Ferrari dan Porsche serta motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai dibeli menggunakan hasil aktiviti judi dalam talian tempatan. – UTUSAN