RANTAU PANJANG: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) melakukan pemeriksaan ke atas 105.5 tan barangan berupa makanan import dibawa masuk menerusi tiga pintu masuk antarabangsa negeri ini.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pemeriksaan bagi memastikan semua makanan tersebutmematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan- Peraturan Makanan 1985.
“Tumpuan utama membuat kawalan makanan import meliputi aktiviti pemeriksaan dan pensampelan.
“Selain itu, pemeriksaan label terhadap makanan import berbungkus turut diberikan perhatian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan itu satu usaha mendidik pengimport, agen dan penjual untuk memastikan produk makanan dijual mengikut peraturan.
Katanya, JKNK sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.
“Dalam operasi itu, satu konsainan makanan (import) dengan nilai RM19,063 dikenakan tindakan pengalihan sementara di bawah Seksyen 4(13) Akta Makanan 1983 kerana kesalahan pelabelan tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Bagaimanapun, JKNK menasihatkan syarikat terbabit melabelkan semula konsainan makanan yang ditahan itu,” ujarnya.
Dr Zaini berkata, JKNK akan terus melipatgandakan operasi di pintu masuk negara bagi memastikan makanan diimport mengikut peraturan.
Katanya, operasi di pintu masuk Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga akan diteruskan dari semasa ke semasa. – UTUSAN