KANGAR : Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melaksanakan penyelarasan agihan bantuan kepada penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini yang berkemungkinan terkandas ekoran penangguhan pendaftaran semula kemasukan ke kampus masing-masing, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, langkah tersebut bagi membantu mereka yang terkesan dan terkandas di Perlis dengan melibatkan kerjasama pengurusan penuntut di IPT seluruh negeri ini.
“Setakat ini, kita belum menerima aduan terdapat penuntut terkandas di negeri ini, sekiranya ada kita akan bantu,” katanya selepas mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerima persembahan sumbangan zakat perniagaan oleh anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (Mara), Rural Capital Berhad di Kuala Perlis di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Operasinya, Dr. Mahadir Ibrahim mempersembahkan replika cek zakat perniagaan bernilai RM 95,879 itu kepada Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs.
Untuk rekod, Rural Capital Berhad adalah sebuah anak syarikat Mara yang dikorporatkan pada 2 Julai 2013 bagi menjalankan aktiviti pembiayaan dan pengurusan hutang.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin mengingatkan seluruh rakyat supaya terus melipatgandakan usaha dalam membudayakan norma baharu yang merupakan tugas dan tanggungjawab semua masyarakat bagi membendung penularan Covid-19.
“Norma baharu itu adalah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa berwaspada serta mengamalkan amalan 3W merangkumi kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala dan amaran daripadaKementerian Kesihatan yang lebih berkonsep peringatan,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE