Lima cemas kereta terbakar - Utusan Malaysia

Lima cemas kereta terbakar

KEADAAN sebuah kereta yang terbakar setelah terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di Kilometer 74.2, Lebuh Raya Utara Selatan di Gurun, Kedah, malam semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lima orang termasuk seorang pemandu sebuah kereta berdepan detik cemas selepas kenderaan dinaiki terbakar setelah terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di Kilometer 74.2, Lebuh Raya Utara Selatan di Gurun dekat sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adz­li Abu Shah berkata, kejadian kira-kira pukul 10.35 malam itu melibatkan sebuah Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun dan motosikal jenis Honda EX5 ditunggang wanita berusia 17 tahun.

“Siasatan awal mendapati motosikal tersebut berge­rak di lorong kecemasan sebelum terbabas lalu melanggar penghadang jalan sebelah kiri.

“Keadaan itu mengakibatkan motosikal tersebut masuk ke laluan kiri lebuh raya sebelum dilanggar Proton Saga di belakangnya yang tidak sempat mengelak,” katanya di sini semalam.

Empat penumpang dan pemandu kereta itu terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara lapan tahun hingga 60 tahun.

Adzli menambah, akibat kemalangan itu penunggang motosikal terbabit yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, cedera di lutut dan muka.

“Wanita berkenaan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk mendapatkan rawatan sementara pemandu kereta tersebut bersama penumpangnya tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kedah, Pe­nguasa Kanan Bomba Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu kira-kira pukul 10.17 malam.

“Pihak kami tiba di lokasi kejadian kira-kira 16 minit kemudian dan berjaya memadam kebakaran dengan kekuatan 18 anggota. Peratusan kebakaran dianggarkan 95 peratus bagi kedua-dua kenderaan tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya