KULAI: Seorang lelaki berusia 40 tahun ditemukan mati terperangkap di dalam tandas sebuah kediaman di Taman Scientex di sini malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Pegawai Bomba Kanan II Firdaus Juritah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.12 malam.
Menurutnya, lapan anggota berserta jentera kemudian digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati seorang mangsa lelaki terperangkap di dalam tandas. Apabila pintu dibuka, mangsa disahkan mati dan berkemungkinan telah lebih 24 jam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Firdaus, mayat lelaki itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala operasi berkenaan ditamatkan pada pukul 10.33 malam.