ALOR SETAR: Hasrat seorang lelaki menanam pokok durian di kawasan hutan terbantut selepas ditahan ketika leka meratakan tanah secara haram di Hutan Simpan Kekal Langkawi, dekat sini semalam.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Roslan Rani berkata, lelaki berusia 47 tahun itu bertindak demikian di Kompartmen 1, Hutan Simpan Gunung Raya, Langkawi sejak seminggu lalu.
Katanya, hasil maklumat dan risikan, pihaknya melakukan pemeriksaan di kawasan berkenaan serta menahan seorang lelaki tempatan kira-kira pukul 6 petang semalam.
Katanya, lelaki terbabit dipercayai meneroka kawasan seluas 0.2 hektar di hutan tersebut bagi tujuan menanam pokok durian.
“Lelaki itu didapati menebang pelbagai jenis pokok tanpa kebenaran yang mana nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya di sini hari ini.
Roslan memberitahu, pihaknya merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk membersih kawasan hutan itu seperti mesin gergaji, parang,cangkul dan penggali lubang serta sebuah motosikal.
Katanya, lelaki terbabit dibawa ke Ibu pejabat Polis (IPD) Langkawi untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 81(1)(e) Akta Perhutanan Negara 1985 dan Seksyen 47(1) akta yang sama,” katanya. – UTUSAN ONLINE