JOHOR BAHRU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol anak tirinya yang berusia 12 tahun di Taman Ungku Tun Aminah, di sini lima bulan lalu.
Tertuduh berusia 29 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu yang merupakan seorang penganggur didakwa melakukan perbuatan tersebut di rumah mereka di Taman Ungku Tun Aminah antara 17 Mac hingga 29 Jun tahun ini.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 376 B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang sepuluh tahun dan tidak lebih 30 tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lydia Salleh yang memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana dia masih tinggal di rumah sama ketika ditahan polis.
Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dengan tertuduh yang tidak diwakili peguam agar tidak diikat jamin selain menetapkan tarikh 2 Disember ini bagi sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE