Lelaki cuba langgar polis ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki cuba langgar polis ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan polis selepas menemukan 188 karton rokok dalam kenderaannya di Persiaran Kewajipan, USJ 9 dekat sini, kelmarin.

Lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira pukul 7.30 pagi selepas dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan dan menggunakan telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, anggota trafik mengekori suspek hingga di lampu isyarat berhampiran pusat beli-belah sebelum mengarahkan dia berhenti untuk pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun, katanya, suspek enggan berbuat demikian sebelum melarikan diri hingga ke lampu isyarat USJ5 malah menghimpit serta cuba melanggar motosikal ditunggang anggota polis.

“Anggota polis terbabit kemudian melepaskan dua das tembakan ke arah tayar hadapan kanan menyebabkan suspek berhenti di Persiaran Kewajipan berdekatan USJ9 kerana tayar pancit.

“Pemeriksaan lanjut menemukan ratusan karton rokok dalam kereta milik suspek berasal dari Johor itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Risikin, suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya untuk siasatan lanjut.

Ujarnya, suspek ditahan reman lapan hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN