IPOH: Semua hasil karya dan lukisan kartunis tersohor tanah air, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Lat sepanjang lebih 50 tahun pembabitannya dalam bidang itu dipamerkan kepada umum di Rumat Lat dan Galeri di Batu Gajah, dekat sini.
Bagaimanapun, tarikh sebenar pembukaan Rumat Lat dan Galeri tersebut belum dimuktamadkan oleh Muzium Negeri Perak selaku pengendalinya.
Lat berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu diperkemas di bahagian dalaman rumah tersebut yang mempamerkan koleksi barang-barang milik keluarganya.
Katanya, sebuah galeri yang dibina bersebelahan rumah itu pula mempamerkan karya-karya lukisan beliau sejak mula melukis kartun pada usia 13 tahun.
“Pembinaan Rumah Lat dan Galeri ini telah lama dirancang serta mengambil masa beberapa tahun untuk direalisasikan.
“Bagi saya, eloklah karya-karya lukisan ini diserahkan dan dijaga oleh Muzium Negeri Perak untuk dikongsi bersama masyarakat di situ (Rumah Lat dan Galeri),” ujarnya pada pelancaran album mini Bismillah di sini semalam.
Album mini dakwah, Bismillah itu diterbitkan oleh pemuzik terkenal, Mohadirman Ismail atau Moha dengan kerjasama Along Exist.
Penerbitannya untuk mencari dana operasi Pusat Tahfiz Al-Ulya, Manjoi di sini.
Lagu-lagu dalam album itu dinyanyikan oleh pengendali pusat tahfiz tersebut, Azhar Latiff yang turut bertindak selaku pencipta lagu.
Menurut Lat, secara peribadi, beliau mahu Rumah Lat dan Galeri dianggap sebagai khazanah rakyat dan dikendalikan sebaik-baiknya.
Antara karya-karya lain Lat yang cukup dikenali ialah Town Boy, Keluarga Si Mamat dan Mat Som serta telah dialih ke beberapa bahasa antaranya Inggeris, Perancis, Jerman, Jepun dan Mandarin.
Rumah Lat dibina mengikut rekaan asal kediaman keluarga kartunis itu yang terletak di Kampung Lalang, Kota Bharu di sini seperti mana ditonjolkan pada buku kartunnya, Kampung Boy.
Rekaannya dikenali sebagai rumah limas bumbung Perak yang mempunyai tiang berlapik batu, bumbung curam, dapur di bahagian belakang, tangga di bahagian hadapan dan menggunakan bahan binaan yang sama.
Projek pembinaan Rumah Lat dan Galeri itu pernah tertangguh beberapa kali sebelum dimulakan kembali pada tahun lalu melibatkan kerjasama kerajaan negeri Perak, Muzium Negeri Perak serta Majlis Perbandaran Batu Gajah dan siap pada pertengahan tahun ini.
Mengikut perancangan awal, rumah berkenaan dijangka dibuka kepada umum pada Jun lalu tetapi tertangguh disebabkan penularan pandemik Covid-19 di samping beberapa perkara lain melibatkan pengurusan. – UTUSAN ONLINE