KUALA LUMPUR :Isu gangguan bekalan air dikaitkan dengan pencemaran belum selesai malah semakin kerap sehingga membebankan pengguna di Lembah Klang, terutamanya Selangor.
Walaupun tindakan dan amaran diberikan terhadap mereka yang bertanggungjawab menjadi punca kepada sumber air tercemar namun perkara sama terus berlaku.
Terbaharu, sebanyak 309 687 akaun dengan lebih sejuta pengguna di 274 kawasan di Selangor dijangka terjejas ekoran pencemaran air mentah di Sungai Semenyih.
Gangguan bekalan air dijangka menjejaskan empat kawasan iaitu Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.
Ketua Komunikasi Korporat, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Elina Baseri berkata, berikutan pencemaran itu Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas.
Menurut beliau, pihak Air Selangor memaklumkan insiden tersebut kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk mengenal pasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan sungai sekitarnya.
“Pihak Air Selangor telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menggiatkan bantuan kepada pengguna yang terjejas.
“Namun, kami belum dapat menjangkakan tempoh masa pengoperasian semula loji dan pemulihan bekalan,” kata beliau dalam kenyataan malam tadi.
Elina berkata, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.
Ini bukan kali pertama kejadian gangguan bekalan air membabitkan pencemaran sungai.
Bulan lalu, akibat pencemaran Sungai Gong di Rawang telah menjejaskan 1.2 juta akaun pengguna di 1, 292 kawasan di Lembah Klang.
Masalah yang berlarutan kira-kira seminggu menimbulkan tidak puas hati dalam kalangan pengguna.
Berikutan kejadian itu, empat adik beradik pemilik sebuah bengkel mencuci jentera dihadapkan ke mahkamah kerana mencemarkan Sungai Gong. – UTUSAN