Kukuhkan perpaduan, terus bermunajat ketika negara masih diuji Covid-19 - PM - Utusan Malaysia

Kukuhkan perpaduan, terus bermunajat ketika negara masih diuji Covid-19 – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak seluruh umat Islam terus bermunajat kepada Allah SWT ketika negara masih lagi diuji dengan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri berkata, pada masa sama, semua rakyat perlu memperkukuh perpaduan terutama dalam usaha memulihkan ekonomi negara.

Kata beliau, ujian itu seharusnya mengukuhkan iltizam untuk lebih mengasihi dan mendekatkan diri kepada ajaran Rasulullah SAW yang tidak pernah melupakan semua umatnya.

“Semoga dengan usaha ini kita beroleh sebanyak mungkin keberkatan dan keredaan Allah SWT, serta kita semua digolongkan dalam kalangan umat yang sentiasa dikasihi dan kelak menerima syafaat Rasulullah SAW, insya-Allah,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul Tahun 1442H/2020M hari ini.

Perdana Menteri berkata, saban tahun, umat Islam memperingati tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai bukti kasih dan sanjungan terhadap risalah perjuangan serta pengorbanan Baginda terhadap umatnya.

Kata beliau, tema sambutan pada tahun ini adalah ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’ dipilih bagi menggambarkan pentingnya sifat rabbani dan kepatuhan hamba kepada Pencipta yang akhirnya membawa kepada keharmonian ummah dan negara.

Beliau berkata, Rasulullah SAW adalah sebaik-baik teladan memiliki sifat-sifat rabbani dan akhlak terpuji yang tiada tolok bandingnya dan menjadi rujukan dalam kehidupan manusia sepertimana dinyatakan dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21.

“Bersempena sambutan Maulidur Rasul ini, saya ingin mengajak saudara dan saudari sekelian untuk memperbanyak selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, menghayati sirah serta berusaha sedaya upaya mencontohi sunnah insan sangat mulia yang
kita kasihi ini,” katanya.

Perdana Menteri turut mengajak seluruh umat Islam menggerakkan kempen ‘Malaysia Berselawat’ yang diinisiatifkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menerusi kempen itu, beliau berkata, para peserta dianjurkan merakam selawat dalam bentuk video pendek yang dikongsi di media sosial masing-masing dengan hashtag #SemarakCintaRasul serta tag laman sosial Jakim.
“Inisiatif ini sangat baik dan bersesuaian dengan amalan norma baharu yang perlu kita laksanakan dalam kehidupan seharian.

“Bahkan, apa yang lebih utama melambangkan bukti kasih sayang kita kepada baginda Rasulullah melalui amalan berselawat ke atas Nabi SAW,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN