PADANG BESAR: Taktik mengubah suai lori kontena yang ditebuk di bahagian atas untuk membawa lebihan batu curai dari negara ini ke Thailand terbongkar apabila tiga kenderaan terbabit ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di Kilometer 22 Jalan Sungai Chuchuh, di sini hari ini.
Pengarah JPJ negeri, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, lori kontena yang diubah suai dan membawa muatan berlebihan itu ditahan dalam operasi khas kira-kira pukul 5 pagi.
Katanya, muatan sepatutnya adalah sebanyak 48,000 kilogram namun lori terbabit membawa lebihan muatan masing-masing sebanyak 70,320 kilogram (46.5 peratus), 69,600 kilogram (45 peratus) dan 76,320 kilogram iaitu lebihan sebanyak 59 peratus.
Menurutnya, lori kontena tidak boleh diubah usai untuk membawa batu kerana tidak bersesuaian dan pihaknya telah menjalankan intipan lapan hari sebelum operasi dijalankan.
“Lori yang didaftarkan di bawah syarikat sama dari Kelantan tersebut diambil tindakan di bawah Seksyen 57(1)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana membawa muatan melebihi had dibenarkan.
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun.
“Kita juga mengeluarkan notis Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu notis arah periksa kenderaan. Kami tidak sita lori kontena ini tetapi mereka harus datang periksa semula di pejabat JPJ selepas 10 hari,” katanya ketika ditemui selepas operasi khas tersebut di sini hari ini.
Sementara itu, Fatimah memberitahu, pihaknya mendapat maklumat mengenai kegiatan tersebut sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi tidak dapat dikesan kerana agar sukar bagi mengenal pasti lori kontena yang ditebuk.
“Batu-batu ini diambil dari kawasan kuari berhampiran dan dibawa terus ke Thailand,” ujarnya.
Menurutnya, sebanyak 10 daripada keseluruhan 18 kes muatan berlebihan di negeri ini telah didakwa di bawah Akta Pengangkatan Awam Darat. – UTUSAN ONLINE