Kes pertama memandu mabuk di P.Pinang didakwa bawah akta baharu - Utusan Malaysia

Kes pertama memandu mabuk di P.Pinang didakwa bawah akta baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pulau Pinang merekodkan kes pertama pendakwaan ke atas pemandu mabuk menggunakan Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan pindaan 2020 yang mula dikuatkuasakan Jumaat lalu.

Pendakwaan itu melibatkan seorang lelaki berusia 22 tahun yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown di sini hari ini kerana menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol, dua hari lalu.

Tertuduh, Saw Yen Yew yang berasal dari Sungai Ara, Bayan Lepas dekat sini bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Rosnee Mohd. Radzuan.

Mengikut kertas pertuduhan, Yen Yew didakwa menunggang motosikal dalam keadaan melebihi kadar alkohol yang ditetapkan iaitu 125mg alkohol dalam 100 darah di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, pukul 2.55 pagi Ahad lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 2020 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000, dipenjarakan sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.

Peguam Mohd. Ismail Mohamad dalam rayuannya memohon mahkamah menetapkan jaminan setimpal berikutan Yen Yew baru mendapat pekerjaan sebagai juruteknik komputer selain tertuduh masih muda.

Rosnee kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwaan Trafik, Inspektor Erma Yanti Abdul Rahim.

Pada 23 Oktober lalu, Rang Undang- undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah jalan raya membabitkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 mula berkuat kuasa.

Akta baharu itu diyakini dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai terhadap pematuhan undang-undang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya