JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, sekiranya orang ramai masih ingkar untuk mematuhi amalan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan sebelum ini, maka penularan wabak berkenaan tidak dapat dibendung.
Sehubungan itu, baginda mengingatkan rakyat agar tidak mengambil mudah peningkatan kes-kes baharu COVID-19 di seluruh negara pada masa kini.
“Pasukan barisan hadapan bertungkus-lumus menjalankan tanggungjawab mereka, maka kita juga perlu berganding bahu untuk memutuskan rantaian jangkitan ini.
“Jangan kita leka atau memandang ringan akan penularan wabak berkenaan, seharusnya bersama-sama patuhi SOP yang telah ditetapkan,” titah Sultan Johor yang dipetik dari Royal Press Office (RPO) hari ini.
Sultan Johor bertitah, rakyat perlu ingat jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula, sudah pasti ia akan memberi pelbagai implikasi kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara.
“Saya pasti rakyat tidak mahu keadaan ini berlaku, oleh demikian jangan pandang ringan perkara ini sebaliknya sentiasa patuh pada SOP,” titah Baginda. – UTUSAN