Kerajaan PN perlu kekal - Utusan Malaysia

Kerajaan PN perlu kekal

KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perikatan Nasional (PN) perlu kekal malah diperkasakan ketika negara sedang berdepan penularan pandemik Covid-19.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, penubuhan kerajaan perpaduan pernah dicadangkan Pas sebelum ini namun berdasarkan situasi semasa, kerajaan sedia ada perlu diperkasa sehingga tiba waktu Parlimen dibubarkan dan mandat diserahkan semula kepada rakyat.

“Kerajaan perpaduan melibatkan semua parti, Pas pernah mencadangkan kerajaan perpaduan tetapi itu cadangan yang telah berlalu.

“Bergantung kepada cadangan sekarang, lihat apa yang berlaku adalah kita perkasakan kerajaan PN dan tunggu masa sesuai untuk kita bubar Parlimen dan serah mandat kepada rakyat semula,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Mesin Ventilator kepada Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), dekat sini hari ini.

Yang hadir sama Pengarah HTJ, Dr. Zaleha Md. Noor dan Pengarah Pentadbiran dan Perhubungan Kerajaan, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Ramzuz Mohd. Rashid.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan cadangan daripada beberapa penganalisis politik dan ahli akademik yang melihat pembentukan kerajaan perpaduan melibatkan kerjasama PN dan pembangkang sebagai jalan terbaik menstabilkan semula politik yang semakin bercelaru ketika negara bergelut dengan wabak Covid-19 dan keruntuhan ekonomi.

Tambah Mohd. Khairuddin, dalam situasi semasa yang dihadapi negara, semua pihak tidak terkecuali pembangkang mempunyai peranannya masing-masing.

“Masing-masing ada sumbangan dan perpaduan boleh dibentuk dengan bersatu hati dalam menghadapi Covid-19 dan tak menjadikan Covid-19 sebagai barang politik murahan untuk menyalahkan sesetengah pihak. Contohnya dipersalahkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sedangkan kita masih ada hujah siapa yang menjadi sebab kepada terbubarnya Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

“Kalau kita nak salahkan orang, tak selesai masalah. Apa yang penting sama-sama kita hadapi masalah sekarang untuk kebaikan semua rakyat. Itu bagi saya paling penting, itulah perpaduan yang kita mahukan sebenarnya,” katanya.

Sementara itu, katanya, MPOA melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komuditi menyumbang satu unit ICU ventilator bernilai RM120,000 kepada HTJ selain 20,000 helai pelitup muka dengan nilai keseluruhan sumbangan berjumlah RM140,000.

“MPOA juga menyalurkan beberapa sumbangan berupa peralatan perubatan seperti ventilator, kit ujian Covid-19, sanitasi tangan, pelitup muka, barangan kesihatan dan beg makanan kepada Kementerian Kesihatan termasuk beberapa buah hospital seperti Hospital Kuala Lumpur, Hospital Serdang (26 Mac 2020), Hospital Selayang dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu Kelantan yang kesemuanya bernilai RM5.234 juta,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya