GEORGETOWN: Kerajaan negeri belum memutuskan untuk melaksanakan pembinaan projek terowong dasar laut di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur, Zairil Khir Johari berkata, pertimbangan pelaksanaan projek itu dibuat selepas hasil laporan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut dimuktamadkan oleh konsesi projek itu, Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZC).
“Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula adalah jabatan yang bertanggungjawab meneliti dan meluluskan laporan kajian impak alam sekitar (EIA),” katanya dalam jawapan bertulis dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Zairil (DAP-Tanjung Bungah) menjawab soalan Mohd. Yusni Mat Piah (Pas-Penaga) sama ada projek terowong dasar laut itu wujud serta agensi yang memberi kebenaran untuk diluluskan.
Tambah Zairil, CZC sebagai syarikat konsesi projek itu mengemukakan draf laporan kajian kebolehlaksanaan projek berkenaan pada 6 September 2019 setelah diteliti pihak jurutera perunding bebas (ICE) yang dilantik kerajaan negeri.
Menurut Zairil, draf laporan itu kini sedang ditambah baik berdasarkan ulasan-ulasan yang diterima oleh pelbagai pihak berkepentingan dan sedang dipantau oleh Jawatankuasa Kerja Teknikal Kerajaan Negeri dalam beberapa siri mesyuarat sejak November 2019.
“CZC dijangka memuktamadkan laporan kajian kebolehlaksanaan tersebut dalam suku keempat tahun ini,” katanya.
Jelas beliau, sekiranya kerajaan negeri memutuskan untuk melaksanakan projek terowong dasar laut berdasarkan hasil laporan kajian kebolehlaksanaan, laporan kajian impak alam sekitar (EIA) disediakan bagi penilaian dan kelulusan JAS.
“Buat masa ini, tiada keperluan untuk mengemukakan permohonan EIA sehingga laporan kajian kebolehlaksanaan dimuktamadkan oleh CZC,” katanya. – UTUSAN ONLINE