Keputusan Agong tangguh isytihar darurat legakan rakyat - Aziz Bari - Utusan Malaysia

Keputusan Agong tangguh isytihar darurat legakan rakyat – Aziz Bari

ABDUL AZIZ BARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tindakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menangguhkan keputusan berhubung perisytiharan darurat yang dikata dicadangkan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) pastinya melegakan rakyat.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, perkara berhubung perisytiharan darurat itu adalah sesuatu yang sangat kritikal dan sepatutnya tidak diputuskan secara tergesa-gesa.

“Rakyat pastinya lega dengan tindakan ke bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menangguhkan keputusan.

“Adalah dicadangkan hal tersebut dirundingkan dengan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja lain.

“Yang pasti keputusan mengenai darurat boleh mengheret institusi raja ke kancah politik khususnya imej istana sebagai payung negara yang tidak harus dijadikan cap getah keputusan kerajaan yang ada,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, hakikatnya kebanyakan keputusan berhubung darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan sejak merdeka diselubungi kontroversi.

Katanya, institusi Yang di-Pertuan Agong harus mengambil isu ituuntuk menekankan betapa ia adalah elemen semak dan imbang bahkan penjaga kepada Perlembagaan negara.

“Meskipun perisytiharan darurat diizinkan Perlembagaan, ia perlu dibatas dan dilakukan dengan memastikan tiada penyalahgunaan.

“Dalam senario sekarang darurat bukan pilihan, ada opsyen lain yang boleh dilakukan,” katanya.

Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa kira-kira dua jam 30 minit menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang.

Perdana Menteri menghadap Al-Sultan Abdullah selepas Kabinet dikatakan bersetuju dengan pelaksanaan darurat bagi menangani penularan Covid-19.

Difahamkan, Mesyuarat Khas Kabinet di Putrajaya pagi semalam membincangkan beberapa cadangan berkaitan pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadualkan bulan depan, ketika negara sedang ‘berperang’ dengan gelombang ketiga Covid-19. – UTUSAN ONLINE

Habis

ABDUL AZIZ BARI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya