Kena ada kriteria jelas bebas banduan lebih awal - Utusan Malaysia

Kena ada kriteria jelas bebas banduan lebih awal

PENJARA ALOR SETAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyediakan kriteria jelas mengenai banduan yang boleh dipertimbangkan andai Pembebasan Banduan Secara Lesen (PBSL) menjadi kaedah terbaik mengekang penularan Covid-19 di penjara.

Ini kerana masalah sosial mungkin timbul daripada pelepasan terlalu awal juga perlu diambil kira.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar undang-undang, Prof. Datuk Salleh Buang berpendapat, sebagai contoh, Jabatan Penjara boleh mengkaji kriteria yang diguna pakai di Oregon, Amerika Syarikat (AS).

Menurut beliau, pemerintah AS membebas awal banduan sakit dan berisiko tinggi, dihukum bukan kerana kesalahan mencederakan orang lain, telah menjalani hukuman sekurang-kurangnya separuh daripada tempoh yang dijatuhkan serta mempunyai rancangan untuk meneruskan kehidupan di masa depan.

“Kita tidak mahu selesaikan satu masalah dalam penjara, kemudian boleh menimbulkan masalah lain di luar penjara.

“Badan bukan kerajaan, Human Rights Warch (HRW) mencadangkan kriteria berikut bagi banduan yang wajar diberi pelepasan awal antaranya hanya melakukan kesalahan kecil; hampir habis tempoh penjara; melakukan kesalahan teknikal (seperti melanggar syarat-syarat parol); banduan kanah-kanak, orang tua, sakit dan berisiko tinggi serta tahanan reman,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, kebanyakan penjara di negara ini bukan hanya berhadapan masalah kesesakan malah turut mengalami kekurangan kakitangan untuk mengawasi tahanan.

Susulan itu, sebagai langkah segera, kira-kira 3,000 daripada 11,018 banduan yang hukuman mereka kurang setahun dan baki hukuman kurang tiga bulan, disasarkan untuk diberi PBSL.

Sementara itu, peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, isu penjara sempit bukan perkara baharu malah sepatutnya perlu diberi perhatian sejak awal Covid-19 melanda.

Menurutnya, beliau pernah mencadangkan mewujudkan penjara transit menggunakan bangunan lama dan pusat-pusat latihan milik kerajaan Persekutuan bagi menyaring pesalah baharu dan tahanan reman agar bebas Covid-19.

“Ini bila sudah berlaku kes Covid-19 di penjara, mana nak letak mereka yang positif ini? Hendak letak di lokap balai polis, nanti balai pula kena Covid-19,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya