KUALA LUMPUR: Pecah masuk rumah, ambil parang, tetak leher dan rogol ketika darah masih keluar dari leher mangsa yang juga seorang jururawat klinik kesihatan.
Lebih malang, kejadian tetak dan rogol itu disaksikan anak mangsa yang ketika itu berusia lima tahun. Kanak-kanak itu sebelum kejadian tidur bersama-sama ibu dan dua adiknya yang masing-masing berusia tiga tahun dan enam bulan.
“Selepas menetak leher mangsa, perayu, Mohammad Awari Ahmad merogol mangsa dengan kejam, ganas dan tidak berhati perut. Ketika itu darah sedang membuak-buak keluar dan mangsa tercungap-cungap menarik nafas. Selepas ‘selesai’, perayu telah pergi ‘meraikan’ perbuatannya dengan meminum arak.
“Kecederaan dialami mangsa bukanlah akibat mangsa meronta atau tidak sengaja. Sabitan salah dan hukuman mati yang dikenakan terhadap perayu adalah selamat untuk dikekalkan,” hujah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nazran Mohd. Sham.
Pendakwaan berhujah demikian ketika membantah rayuan bekas pekerja kilang kayu, Mohammad Awari, 27, terhadap sabitan salah dan hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh jururawat klinik kesihatan berusia 25 tahun, pada 1 Mac 2015 di sebuah rumah di Kampung Batu Papan, Gua Musang, Kelantan.
Tahun lalu, Mahkamah Rayuan di sini turut mengekalkan sabitan salah dan hukuman yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, pada 31 Januari 2018.
Mohammad Awari turut disabitkan atas tuduhan merogol mangsa dan dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan sebat 12 kali. Bagaimanapun, bagi prosiding semalam, rayuan hanya dibuat terhadap hukuman mati.
Panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf yang bersidang bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, sebulat suara menolak rayuan Mohammad Awari selepas mendapati tiada kekhilafan dibuat dan tiada alasan kukuh untuk mengubah dapatan mahkamah terdahulu.
Menurut fakta kes, Mohammad Awari adalah kenalan suami mangsa, seorang anggota polis bantuan, memecah masuk ke rumah mangsa dengan membawa sebatang kayu. Namun dia menukar senjata tersebut kepada parang yang ditemukan di bahagian dapur.
Dia kemudian memasuki bilik dalam rumah tersebut sebelum disedari oleh wanita itu yang kemudian diserang oleh perayu sehingga mengalami 11 kecederaan tetakan di badannya termasuk dua kelaran yang membawa maut di bahagian leher.
Berdasarkan keterangan bela diri perayu, mangsa terjaga dan terkejut ketika menyedari biliknya dimasuki Mohammad Awari yang ingin mencuri. Perayu dalam keterangannya menyatakan mangsa mengalami kesukaran bernafas akibat kelaran di lehernya ketika dirogol.
Kejadian itu disedari oleh suami mangsa yang pulang dari kerja dan menemukan isterinya dalam keadaan berlumuran darah, tidak berpakaian dan hanya dilitupi sehelai selimut di hadapan rumah mereka.
Anggota polis itu kemudian meminta tolong ibu bapanya yang tinggal kira-kira 200 meter dari tempat kejadian untuk membawa isterinya ke hospital sementara dia memeriksa keadaan tiga anaknya.
Masuk ke dalam bilik, anggota polis itu menemukan anak-anaknya sedang berbaring atas tilam yang dicemari dengan darah ibu mereka.
Terdahulu, peguam Ahmad Nizam Mohamed merayu pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dikenakan terhadap anak guamnya dipinda kepada Seksyen 304 akta sama kerana perayu tidak mempunyai niat untuk membunuh.
Tambah peguam itu, perayu pegi ke rumah tersebut untuk mencuri dan fakta turut menunjukkan diamencuri wang sebanyak RM200 dan telefon bimbit mangsa. Keterangan ahli patologi pula menyatakan kecederaan yang dialami mangsa berkemungkinan akibat meronta. – UTUSAN ONLINE