DUNGUN: Seorang peniaga berdepan detik cemas apabila kedai makannya terbakar dalam kejadian di Kampung Sura Jeti, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 malam itu, Roshida Mohammad bersama pekerja dan pelanggan sempat menyelamatkan diri.
Roshida berkata, ketika kejadian, dia berada di dapur premis diperbuat daripada kayu itu bersama adiknya menyiapkan hidangan sebelum dikejutkan dengan bunyi bising akibat salur gas yang digunakan untuk memasak air tercabut lalu menyambar kedainya.
“Saya panik dan cuba memadamkan kebakaran tetapi api semakin marak. Saya dan adik berlari keluar meminta pelanggan menyelamatkan diri.
“Pada masa itu, saya cuma fikir untuk menyelamatkan nyawa sebab terdapat tiga tong gas di dalam kedai dan saya bimbang ia meletup,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Roshida berkata, walaupun terpaksa menangung kerugian besar, dia bersyukur api tidak merebak ke ruamhnya yang terletak di belakang kedai tersebut.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Mohd. Aidil Khairim Abd. Wahab berkata, sepasukan tujuh anggota bomba bersama sebuah jentera ditugaskan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.58 malam.
“Kebakaran memusnahkan keseluruhan kedai, bagaimanapun api dapat dikawal daripada merebak dan operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.30 malam,” katanya. – UTUSAN ONLINE