SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor menunda Karnival Selangor Mega Job 2020 yang dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula esok.
Karnival yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam itu ditunda berikutan peningkatan Covid-19 yang membimbangkan sejak kebelakangan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd. Khairuddin Othman berkata, kes positif Covid-19 yang semakin meningkat menimbulkan keresahan banyak pihak.
Katanya, keputusan menunda karnival tersebut adalah satu tindakan yang wajar.
“Kerajaan negeri sentiasa mengikuti perkembangan semasa berkaitan peningkatan kes kumulatif Covid-19 di Selangor.
“Karnival Selangor Mega Job Fair 2020 yang dirancang esok telah menerima pendaftaran berjumlah 8,150 secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd.Khairuddin, karnival tersebut ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan atas pandangan dan nasihat Jabatan Kesihatan dan Selangor Task Force Covid-19 (STFC).
Terdahulu, media melaporkan sebanyak 24,500 jawatan ditawarkan melibatkan lebih 60 syarikat kepada pencari kerja di Selangor sempena program tersebut.