Kanak-kanak didera guna getah paip - Utusan Malaysia

Kanak-kanak didera guna getah paip

Pelbagai punca kes dera anak-anak, antaranya termasuk ibu bapa atau penjaga panas baran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Belakang badan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun berbirat dipercayai didera bapa angkatnya menggunakan getah paip di Masjid Tanah di sini.

Penderitaan kanak-kanak itu terbongkar selepas penduduk sekitar membuat laporan berkenaan kes penderaan tersebut kira-kira pukul 6 petang ini di Balai Polis Masjid Tanah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi dan berjaya menyelamatkan kanak-kanak tersebut serta menangkap suspek berusia 34 tahun.

“Pihak polis turut merampas getah paip yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk memukul mangsa.

“Difahamkan mangsa telah tinggal bersama suspek selama dua tahun selepas bapanya menghilangkan diri manakala ibunya dikatakan tinggal di Cheras, Kuala Lumpur,” katanya.

Mengulas lanjut, Arshad berkata, suspek sememangnya disifatkan sebagai seorang yang panas baran.

“Mangsa juga tidak bersekolah dan sering mengadu dipukul oleh suspek. Kanak-kanak itu telah dirujuk ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Beliau turut memuji sikap prihatin masyarakat yang menyalurkan maklumat seperti ini seterusnya dapat menyelamatkan mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Permohonan reman akan dibuat terhadap suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah untuk siasatan lanjut,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN