HULU TERENGGANU: Seorang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menahan sakit lebih enam jam setelah dipatuk ular kapak ketika menjalani latihan di Hutan Simpan Sekayu, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, Muhammad Imran Khasimin Kamarul Zaman, 24, dari Sungai Tong, Setiu dikatakan dipatuk reptilia berkenaan di buku lali kaki kirinya.
Dia dibawa keluar pasukan penyelamat yang mengambil masa kira-kira dua jam berjalan kaki untuk sampai ke lokasi lelaki terbabit.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd. Zamri Muda berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 3.49 petang, selepas lebih satu jam insiden tersebut berlaku.
Katanya, berdasarkan maklumat awal yang diterima dari Pejabat Perhutanan Sekayu, kejadian berlaku 3.5 kilometer dari hutan lipur itu.
“Bomba dengan kekuatan lapan anggota bersama empat anggota Perhilitan mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai ke lokasi mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zamri, Muhammad Imran Khasimin kemudian diserahkan kepada petugas kesihatan untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan operasi khidmat khas itu ditamatkan pada pukul 8.35 malam.
Katanya, mangsa dikatakan menjalani latihan di kawasan Hutan Simpan Sekayu itu sejak Rabu lalu bersama kira-kira 10 individu termasuk kakitangan Perhilitan dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA). – UTUSAN ONLINE