JIPS siasat warga polis dipanggil SPRM - Utusan Malaysia

JIPS siasat warga polis dipanggil SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengambil keterangan pegawai dan anggotanya berhubung sindiket penipuan Macau Scam dan judi dalam talian.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya berkata, siasatan terperinci dijalankan bagi mendapatkan bukti berhubung penglibatan mereka dalam kegiatan itu.

“Mereka tidak digantung atau ditahan kerja kerana siasatan belum selesai.

“Selepas siasatan berakhir, JIPS akan teliti dan cadangkan hukuman tatatertib yang sesuai dengan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 10 pegawai dan anggota PDRM akan dikenakan tindakan jika terbukti melindungi penjenayah.

Terdahulu, kira-kira 17 pegawai kanan polis dipanggil ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Bagaimanapun, kesemua pegawai dan anggota polis terbabit tidak ditahan sebaliknya mereka hanya melalui proses dirakam percakapan.

Warga polis terlibat membabitkan pegawai dan anggota yang bertugas di Selangor dan Ibu pejabat Bukit Aman. Antara yang dirakam percakapan termasuk pegawai berpangkat Senior Asisten Komisioner.

Difahamkan, JIPS akan mengusulkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid mengenai tindakan sewajarnya ke atas semua yang terlibat selepas siasatan selesai.

Tindakan ke atas 17 warga polis itu susulan siasatan SPRM yang menumpaskan sindiket Macau Scam dan judi dalam talian dipercayai diketuai Goh Leong Yeong atau Alvin. Kumpulan yang dipanggil SPRM disiasat selepas didakwa menerima wang sogokan melindungi jenayah Alvin.

Siasatan tersebut turut membabitkan beberapa selebriti yang disyaki bersuhabat dengan Alvin untuk mencuci duit hasil daripada kegiatan jenayahnya.

Sehingga semalam, Alvin, 32, tahun belum ditahan selepas meloloskan diri dari kawasan Ibu Pejabat SPRM selepas dibebaskan agensi itu.

Alvin dikehendaki untuk disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya