Jemaah menteri bincang lebih lanjut - PM - Utusan Malaysia

Jemaah menteri bincang lebih lanjut – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jemaah menteri mengambil maklum kenyataan Istana Negara mengenai pendapat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian di Malaysia.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata,
jemaah menteri akan berbincang dengan lebih lanjut titah Seri Paduka itu.

Beliau menjelaskan, keutamaan jemaah menteri dan kerajaan pada masa ini adalah untuk melindungi rakyat daripada pandemik Covid-19.

“Saya menjunjung kasih di atas kepercayaan Seri Paduka kepada kerajaan pimpinan saya dan menyambut baik nasihat supaya kestabilan kerajaan tidak diganggu-gugat,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Selepas perbincangan dengan Majlis Raja-raja Melayu hari ini, Al-Sultan Abdullah menolak pengisytiharan darurat kerana tiada keperluan untuk melaksanakannya di negara ini atau mana-mana bahagian negara ini ketika ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dicapai selepas Yang di-Pertuan Agong memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-raja Melayu.

Berikutan situasi yang sedang dihadapi negara, Al-Sultan Abdullah berasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani pandemik Covid-19 dengan baik dan berkesan.

Katanya, Seri Paduka amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala pandemik Covid-19 itu dari terus merebak.

Seri Paduka bagaimanapun mengingatkan mana-mana ahli politik untuk berhenti daripada segala politiking yang boleh menganggu kestabilan pemerintahan negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN