Isu pembukaan sempadan Malaysia - Singapura tetap diteruskan  - Utusan Malaysia

Isu pembukaan sempadan Malaysia – Singapura tetap diteruskan 

MUSTAPA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perbincangan berhubung pembukaan sempadan Malaysia-Singapura tetap diteruskan biarkan berlaku peningkatan kes Covid-19 sejak beberapa hari lalu khususnya di negara ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata, hal itu kerana penutupan sempadan memberi impak kepada ekonomi negara, khususnya di Johor. 

“Kita sedia maklum Johor terkesan dengan penutupan sempadan, ini telah dibangkitkan beberapa kali oleh Menteri Besar (Datuk Hasni Mohammad). Ini satu perkara yang sentiasa dibincangkan di peringkat pusat. 

“Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara Isnin lalu membincangkan topik pelancongan dimana 50 peratus merupakan pelancong dari Singapura, ini juga dibincangkan. 

“Perbincangan berhubung perkara itu diketuai Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama rakan sejawatannya dari Singapura,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di Rumah Pangsa Larkin, di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri. 

Mustapa turut memberitahu, penutupan sempadan berkenaan membabitkan dua perkara utama iaitu ketiadaan kemasukan warga Singapura dan ketidak upayaan rakyat Malaysia bekerja di Singapura. 

“Dua kesan utama adalah rakyat Singapura tidak boleh masuk melancong dan membeli belah di sini serta rakyat Malaysia hilang punca pendapatan. 

“Kita cukup faham Covid-19 ini mempunyai banyak risiko dan menimbulkan banyak masalah, namun perlu ada keseimbangan antara ekonomi dan kesihatan,” ujarnya. 

Tambah beliau, sehubungan itu kerajaan turut berharap pembukaan sempadan dapat dilaksanakan secara berperingkat dalam usaha untuk memulihkan ekonomi negara. 

Sementara itu, menerusi lawatan berkenaan, Mustapa meluangkan masa dengan menziarahi tiga keluarga daripada golongan B40 selain mendengar permasalahan dibangkitkan penduduk rumah pangsa berkenaan.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya