Isteri tabah jaga suami hidap kanser hidung - Utusan Malaysia

Isteri tabah jaga suami hidap kanser hidung

ZARINA Talib menunjukkan parut kesan lecur di leher suaminya, Mohd Taha selepas menerima rawatan radioterapi.-UTUSAN/FARAHWAHIDA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT : Seorang isteri reda terhadap segala ketentuan takdir di atas nasib suami yang menghidap kanser pangkal hidung tahap tiga sejak lebih setahun lalu.

Zarina Talib, 39, berkata, tanggungjawab mencari rezeki sebelum ini terletak di bahu suaminya, Mohd. Taha Mat Dek, 38, yang bekerja dengan sebuah syarikat pembersihan di bandar ini.

Namun, segalanya berubah selepas ketua keluarga itu disahkan menghidap Nasopharyngeal Carcinoma (NPC) atau kanser pangkal hidung, Julai tahun lalu.

“Pada awalnya, saya membawa suami ke Hospital Segamat selepas dia mengadu sakit dan bengkak pada leher. Saya sangkakan ia hanyalah tyroid atau ketumbuhan biasa seperti beguk.

“Namun, setelah doktor membuat pemeriksaan lanjut melalui computerized tomography (CT Scan), dia (Mohd. Taha) disahkan menghidap kanser pangkal hidung tahap tiga,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Seberang Batu Badak di sini baru-baru ini.

Sejak itulah tahap kesihatan suaminya itu semakin merosot sehingga terpaksa mengambil cuti sakit untuk melakukan rawatan kemoterapi di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar dan radioterapi di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Zarina berkata, ekoran mengambil cuti yang panjang, punca pendapatan suaminya hilang setelah pihak syarikat tidak membayar gaji sebelum dia membuat keputusan untuk bekerja sebagai pembantu di gerai pisang goreng berdekatan rumah mereka.

“Kerja sebagai pembantu kedai gerai pisang goreng tidak berapa sangat dapat, dalam RM300 bolehlah. Selain itu, kami juga terima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 sebulan.

“Dengan rezeki inilah saya guna untuk sara keluarga, serta perbelanjaan sekolah anak darjah enam dan kos ulang-alik dari Segamat ke Muar serta Johor Bahru untuk rawatan susulan suami,” katanya.

Zarina dan keluarga mengharapkan ihsan daripada orang ramai tampil membantu meringankan beban mereka sekeluarga.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan ikhlas boleh menghubungi Zarina di talian 0147753754. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN