KOTA BHARU: Lagi jadi mangsa scammer.
Kali ini melibatkan seorang pesara penjawat awam wanita yang kerugian lebih RM480,000 selepas ditipu sindiket Love Scam dalam kejadian di Gua Musang, dekat sini.
Mangsa berusia hujung 50-an yang juga ibu tunggal sebelum itu berkenalan dengan seorang lelaki Melayu yang mendakwa menetap dan bekerja di dalam industri minyak dan gas di United Kingdom menerusi laman media sosial Facebook, bulan lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Superintenden Ahmad Azizul Mohamed berkata, tidak lama setelah berkenalan, lelaki itu memberitahu ingin menghantar wang perbelanjaan berjumlah RM650,000 kepada mangsa.
“Hujung bulan lepas, mangsa dihubungi seorang wanita kononnya bertugas di Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan bahawa rakan Facebooknya itu telah memindahkan sejumlah wang untuk diproses.
“Bagaimanapun, mangsa diminta membuat bayaran bagi mengelakkan wang tersebut dibekukan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Ahmad Azizul, dalam tempoh kurang dua minggu, mangsa membuat beberapa transaksi pindahan wang berjumlah lebih RM480,000 ke satu akaun bank milik wanita yang menyamar sebagai pegawai BNM itu.
Katanya, mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, semalam dan kes dilklasifikasikan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.