Guru tadika rugi RM31,385 ditipu 'pegawai bank' - Utusan Malaysia

Guru tadika rugi RM31,385 ditipu ‘pegawai bank’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang guru tadika berusia 52 tahun mengalami kerugian sebanyak RM31,385 selepas diperdaya individu menyamar pegawai bank yang menawarkan pinjaman wang dengan kadar faedah rendah, 14 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Superintendan Elias Omar berkata, suspek memperkenalkan dirinya sebagai pegawai tertinggi di RHB Bank cawangan Kuala Lumpur bernama Nelson Chin Wen Wei ketika menghubungi mangsa menerusi aplikasi WhatsApp.

“Suspek kemudian menawarkan pinjaman wang dengan kadar faedah rendah yang sebenarnya tidak wujud kepada wanita terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Elias berkata, mangsa yang terdesak mahu mendapatkan pinjaman wang bersetuju meminjam sebanyak RM250,000 dan suspek seterusnya menjanjikan kadar faedah serta bayaran balik pinjaman yang rendah.

“Selepas berjaya mendapatkan kepercayaan mangsa untuk membuat pinjaman, suspek meminta mangsa untuk membuat pelbagai bayaran seperti insurans, buka fail, bayaran percubaan pinjaman dan sistem pinjaman.

“Atas dasar percaya, mangsa membuat pemindahan wang secara dalam talian ke tiga akaun bank yang diberikan suspek bulan lalu,” ujarnya.

Menurutnya, keseluruhan pemindahan wang yang dibuat oleh mangsa berjumlah RM31,385.

“Mangsa terpaksa membuat pinjaman wang daripada ahli keluarga bagi menyerahkan wang kepada suspek,” katanya.

Tambahnya, mangsa disedari ditipu apabila suspek memintanya membuat beberapa pembayaran lagi, selain perlu membayar sejumlah wang jika mahu membatalkan permohonan pinjaman berkenaan.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Sungai Petani dekat sini pada Ahad lalu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

-habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya