KUALA LUMPUR: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempercayai keupayaan kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam membendung penularan Covid-19.
Ketua Whipnya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, semua pihak perlu akur dengan titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong yang sentiasa mengutamakan rakyat dan negara di samping memperakui kerajaan sekarang berjaya menangani pandemik berkenaan dengan baik dan berkesan.
Katanya, GPS akur titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya semua ahli politik menghentikan segala politiking yang boleh mengganggu gugat kestabilan pemerintahan negara.
“Ini amat selari dengan prinsip dan pendirian GPS selama ini yang konsisten mahu supaya semua pihak menghentikan politiking dan fokus kepada usaha menangani penularan Covid-19 serta pemulihan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik berkenaan.
“Rakyat seharusnya menjadi keutamaan oleh semua ahli politik dalam apa jua keadaan terutama dalam berdepan cabaran penularan Covid-19 ketika ini.
“GPS menjunjung kasih titah Seri Paduka akan betapa pentingnya Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen akan datang ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pelbagai spekulasi timbul berhubung kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri rentetan daripada keputusan Istana Negara menolak cadangan pengisytiharan darurat yang dikemukakan oleh kerajaan.
Keputusan Al-Sultan Abdullah selepas bermesyuarat dengan Raja-raja Melayu itu dilihat oleh ramai pihak sebagai satu isyarat bahawa Muhyiddin sudah kehilangan kepercayaan untuk terus menerajui kerajaan.
Majlis Tertinggi UMNO memutuskan kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan menolak bekerjasama dengan PKR serta DAP.
Kesemua 18 ahli Parlimen Pas juga menzahirkan kesetiaan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri. – UTUSAN ONLINE