Gas Malaysia tanam 300 pokok bakau - Utusan Malaysia

Gas Malaysia tanam 300 pokok bakau

AHMAD Hashimi Abdul Manap (tengah) bersama peserta menandakan kawasan penanaman pokok bakau oleh Gas Malaysia semasa program CSR syarikat itu di Taman Alam Kuala Selangor, Selangor, semalam. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Menyedari kepentingan pokok bakau dalam ekosistem alam semulajadi, Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) mengambil inisiatif menanam 300 batang pokok jenis Rhizophora Mucronata di Taman Alam Kuala Selangor, di sini semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia, Ahmad Hashimi Abdul Manap berkata, penanaman pokok bakau itu adalah yang pertama selepas menanam pokok rhu di Kuantan, Pahang, dua tahun lalu.

Beliau berkata, program menanam pokok tersebut adalah salah satu teras dalam program tanggungjawab sosial (CSR) Gas Malaysia.

“Program ini adalah terakhir dalam teras persekitaran namun kita akan menjalankan program dalam teras lain iaitu pendidikan, komuniti dan sukan.

“Kita memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi menjalankan program CSR pada tahun ini meliputi semua teras,” katanya selepas program ber­kenaan.

Terdahulu, kira-kira 40 kakitangan Gas Malaysia menyertai program tanaman pokok bakau selama lebih satu jam yang bermula pukul 11 pagi.

Menurut Ahmad Hashimi, walaupun negara dilanda pandemik Covid-19 tidak menghalang pihaknya menjalankan program tanaman tersebut.

Katanya, program itu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti menyembur cecair pembasmi kuman kepada setiap peserta.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif Bahagian Pembangunan Perniagaan Gas Malaysia, Azra Muhammad berkata, program berkenaan adalah platform kepada kakitangan syarikat tersebut memahami kepentingan tanaman yang dianggap khazanah negara.

“Semua sedia maklum tentang kepentingan pokok bakau ini tetapi cara atau kaedah penanamannya berbeza.

“Batang pokok bakau ini perlu dibenam sedalamnya ke tanah sebelum ditanam supaya dapat hidup lama,” ujarnya.

Bagi Pegawai Eksekutif Pe­ngurusan Bahagian Pengurusan Gas Malaysia Energy dan Services Sdn. Bhd., Muhammad Faris Danial Roslan, peluang diberikan syarikat mengikuti program CSR itu perlu digunakan sebaik mungkin untuk menyampaikan kepentingan tanaman pokok bakau.

“Dengan mengikuti aktiviti menanam pokok bakau, ia adalah salah satu sumbangan kepada masyarakat dalam memastikan tanaman tersebut terus hidup sekali gus mengekalkan fungsi­nya,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Eksekutif Perhubungan dan Infrastruktur Gas Malaysia Disturbution Sdn. Bhd., Intan Sajidah Abd. Aziz berkata, pokok bakau mempunyai kepentingan tersendiri dalam ekosistem alam semulajadi.

“Golongan muda pada masa ini dilihat agak lalai dan tidak memahami kepentingan pokok bakau dalam kehidupan.

“Dengan adanya aktiviti se­per­ti ini memberi peluang kepada saya menceritakan pengalaman dan kepentingan tanaman tersebut kepada anak-anak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya