KUALA TERENGGANU: Semua galeri pameran di Kompleks Muzium Terengganu di Bukit Losong di sini ditutup enam hari kepada pengunjung mulai Sabtu ini.
Pengarah Lembaga Muzium negeri, Che Muhamad Azmi Ngah berkata, penutupan sementara itu sebagai langkah berjaga-jaga dalam mencegah penularan pandemik Covid-19.
“Sepanjang tempoh penutupan itu, aktiviti nyah cemar dilakukan di dalam galeri dan tempat sewajarnya.
“Bagaimanapun, operasi pejabat masih berjalan seperti biasa untuk sebarang urusan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdapat sembilan galeri pameran di Kompleks Muzium Terengganu iaitu foyer Batu Bersurat, galeri tekstil, galeri kraf, galeri diraja, galeri sejarah, galeri Petronas, galeri Islam, galeri ilmu kejadian di samping pameran sementara serta pameran persemadian.
Sementara itu, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di Kampung Laut di sini turut ditutup kepada pengunjung selama lapan hari mulai hari ini. – UTUSAN ONLINE