Enam kompaun gagal patuh SOP PKPP di PD - Utusan Malaysia

Enam kompaun gagal patuh SOP PKPP di PD

AIDI SHAM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sebanyak enam kompaun dikeluarkan pasukan Task Force Operasi Pematuhan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson terhadap individu yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kesemua kompaun itu dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

“Kesemua kompaun dikeluarkan kepada individu tersebut kerana gagal mematuhi SOP dengan tidak memakai pelitup muka ketika berada dalam premis perniagaan yang diperiksa oleh polis di sekitar Lukut dan Port Dickson.

“Tawaran kompaun sebanyak RM1,000 setiap kesalahan dan kompaun hendaklah dijelaskan di Pejabat Kesihatan Port Dickson dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Aidi Sham, Pasukan Task Force Operasi Pematuhan SOP PKPP IPD Port Dickson mengambil tindakan secara berterusan bagi memastikan masyarakat sentiasa peka dan patuh terhadap norma baharu sepanjang tempoh PKPP dilaksanakan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai terus mematuhi SOP ditetapkan kerajaan dengan memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial semasa berada di premis-premis perniagaan serta mengelakkan untuk berada di tempat awam yang sesak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN