REMBAU: Empat lagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Undang Haji Adnan (DUHA) dekat sini positif Covid-19 hari ini.
Angka tersebut menjadikan jumlah terkini pelajar sekolah tersebut positif Covid-19 meningkat kepada lima orang.
Mangsa pertama membabitkan pelajar lelaki tingkatan satu yang dikesan positif Khamis lalu.
Kes berkenaan daripada Kluster Hampar dan setakat ini seramai 578 individu disaring.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Rembau, Mohamad Najib Mustafa berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan mengesan kontak bagi empat pelajar berkenaan.
“Ujian calitan Covid-19 akan dilaksanakan untuk semua individu dalam siasatan (PUI) serta kesemuanya akan dipakaikan gelang merah dan menjalani kuarantin.
“Pelaksanaan ujian calitan untuk pesakit dalam pemantauan (PUS) juga telah dijalankan Sabtu lalu membabitkan lebih 400 individu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Mohamad Najib berkata, pihaknya akan mengenal pasti lokaliti yang mempunyai keperluan untuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco).
Difahamkan, SMK Duha telah ditutup sejak 23 Oktober sehingga 29 Oktober ini. – UTUSAN