KLANG: Menyamar sebagai polis, melakukan samun dan bertindak meraba payu dara mangsa sebelum bertindak melarikan diri.
Perlakuan jenayah itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila kedua-dua individu termasuk seorang warga Bangladesh berusia 25 tahun dan 44 tahun ditahan kira-kira pukul 10.30 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisoner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menjalankan siasatan setelah menerima laporan polis berhubung kes samun seunit telefon bimbit jenis Iphone 6 milik seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dalam kejadian di Jalan Tok Sidang, Kampung Delek Kanan, dekat sini Selasa lalu.
Katanya, mangsa yang menunggang motosikal bersama rakannya ditahan di tepi jalan oleh suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC dan memakai topi keledar dengan visor gelap.
“Suspek mengaku sebagai polis meminta rakan mangsa yang menunggang motosikal tersebut menunjukkan lesen memandu serta menyuruh menelefon ibunya atas alasan akan membawa mereka ke balai polis.
“Mereka yang bimbang dengan ugutan tersebut kemudian mengeluarkan telefon bimbit. Bagaimanapun suspek bertindak merampas telefon bimbit dan meraba payu dara mangsa sebelum melarikan diri,” katanya di sini hari ini.
Tambah Shamsul Amar, susulan laporan tersebut, pihaknya menjalankan siasatan dan berjaya mengesan suspek.
“Hasil penahanan, kita merampas sebuah motosikal jenis Demak Evo dan topi keledar jenis MHR serta dua buah telefon bimbit Iphone 6S.
“Kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian samun dan cabul tersebut. Semakan mendapati seorang daripada suspek yang merupakan warga tempatan tersebut mempunyai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan Akta Senjata 1960 selain dadah,” ujarnya.
Katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk tempoh penglibatan mereka.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE