YAN: Dua pemancing berdepan detik cemas setelah bot yang dinaiki mereka terkandas di Pantai Pulau Telor, dekat sini selepas dipukul ombak petang semalam.
Sebelum kejadian, Chan Yew Ming, 47, dan rakannya, Lee Kim Loon 47, dipercayai keluar memancing dengan menaiki sebuah bot dari jeti Penang Swimming Club, Pulau Pinang pada pukul 11 pagi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pada pukul 6 petang.
Katanya, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi melancarkan operasi bantuan aset terhadap kedua-dua pemancing tersebut.
“Usaha mencari dan menyelamat melibatkan sebuah bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
“Operasi pada hari pertama berdepan cabaran kerana kawasan tersebut agak berbatu dan faktor air laut surut menyebabkan operasi terpaksa ditunda,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi disambung semula hari ini dengan bantuan sebuah bot nelayan tempatan pada pukul 7 pagi.
Katanya, kedua-dua pemancing ditemukan dalam keadaan selamat bersama bot mereka di pulau itu pada pukul 9.52 pagi ini. – UTUSAN ONLINE