BATU GAJAH: Dua lelaki maut manakala seorang cedera parah setelah kereta dinaiki mereka melanggar pokok kelapa sawit di Batu 26, Jalan Tanjung Tualang, di sini hari ini.
Nahas pada pukul 6.50 petang itu meragut nyawa pemandu Perodua Kelisa, Tan Chee Chuan, 52, dan rakannya, Khor Han Chor, 46, yang duduk di bahagian penumpang hadapan kereta.
Kemalangan turut mengakibatkan seorang lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Belayet, 52, cedera parah dan dirawat di Hospital Batu Gajah.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, ketika kejadian kenderaan dipandu Chee Chuan dari arah Kampung Gajah menghala ke Tanjung Tualang.
Katanya, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pokok kelapa sawit di sebelah kiri jalan.
“Semua mangsa yang cedera parah dikeluarkan dari kenderaan dengan bantuan pasukan bomba.
“Seorang lelaki yang duduk di bahagian penumpang hadapan disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu kereta pula meninggal dunia di Hospital Batu Gajah,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, bedah siasat ke atas mayat kedua-dua mangsa dijalankan esok di hospital sama.
“Siasatan mendapati punca kemalangan disebabkan kenderaan hilang kawalan dan terbabas sehingga melanggar pokok. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah, Mohamad Khamis Harun berkata, sepasukan lapan anggota dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.57 petang. – UTUSAN ONLINE